IPOH – Sebanyak 14 kawasan tumpuan disekitar bandar ini digempur menerusi operasi menyelamat gelandangan melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, menerusi operasi itu seramai 84 gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di pusat penempatan gelandangan (PPG).

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai 44 orang positif ujian yang dilakukan AADK  manakala jumlah yang masih ada di PPG adalah 16 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 14 orang penghuni telah divaksin di PPG oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.

“Sepanjang tempoh perlindungan ini, penghuni telah diberi pemeriksaan kesihatan berkala oleh pegawai perubatan daripada PKD Kinta,” ujarnya pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya, terdapat juga penghuni yang telah mula bekerja setelah terkandas di Ipoh dan hilang punca pendapatan.

Kerajaan negeri mengambil perhatian tentang kesihatan dan kebajikan gelandangan di negeri ini terutama di daerah Kinta apabila mewujudkan sebuah PPG sementara di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Jalan Kompleks Sukan, Ipoh.

PPG sementara ini mula beroperasi pada 5 Jun lalu di mana objektif penubuhannya dapat membantu mengubah sikap gelandangan untuk kembali kepada masyarakat dan meningkatkan tahap kebersihan diri mereka.