MANJUNG - Sebanyak 300 Jalur Gemilang diedarkan kepada penunggang motosikal yang berhenti mengisi minyak di Stesen Caltex Batu 7,  Lekir, Sitiawan dekat sini baru-baru ini.

Program kelolaan Wanita Perikatan Nasional Lumut ini diterajui pengarah program, Norhaslinda Zakaria yang juga Ketua Srikandi Lumut.

Menurut Norhaslinda, selain itu lebih 150 penunggang motosikal yang berhenti mengisi minyak di stesen berkenaan menerima petrol percuma berjumlah RM5.

Katanya, lokasi itu dipilih kerana kedudukannya yang menjadi laluan penduduk setempat untuk ke pekan berhampiran.

"Objektifnya adalah bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga setempat menjelang sambutan kemerdekaan.

"Kita mahu kibarkan Jalur Gemilang pada motosikal masing-masing sebagai tanda cintakan tanahair," ujarnya.

Turut terlibat ialah barisan kepimpinan serta ahli-ahli Wanita Muslimah PAS, Wanita Gerakan, Srikandi Bersatu Lumut dan wakil Pemuda Gerakan negeri, Ong Kean Sing.