IPOH - "Alhamdulillah, saya rasa lega apabila diberi suntikan vaksin pada hari ini," luah Imam Satu Masjid Jamek Al-Amin Tambun, Abdul Fattah Kamarudin, 36, kepada Peraktastic pada Rabu. 
 
Abdul Fattah antara 500 penerima vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dengan kerjasama Masjid Jamek Al-Amin Tambun dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). 
 
Menurutnya, pihak masjid memaklumkannya berhubung program outreach tersebut pada minggu lalu dan dia bersama isteri serta beberapa ahli keluarga lain menerima suntikan vaksinasi dos pertama pada hari ini. 
 
"Setakat ini, kebanyakkan jemaah di masjid ini sudah mendapat suntikan vaksin namun saya masih belum mendapat panggilan daripada MySejahtera walaupun sudah mendaftar lebih tiga bulan lalu. 
 
"Selepas mendapat suntikan vaksin ini saya berasa lebih selamat untuk melakukan aktiviti keagamaan di masjid," jelasnya. 
 
Penghantar Foodpanda, Mohamad Ikhwan Siman, 37, dari Batu 6 Tambun mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program outreach ini. 
 
Dia yang cedera di kaki kanan akibat dua bulan lalu terpaksa memakai tongkat untuk berjalan namun itu tidak menghalangnya untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi perlindungan diri. 
 
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata program vaksinasi di masjid bawah MBI Prihatin ini akan diteruskan mengikut fasa. 
 
"Program ini adalah yang kedua dan akan diteruskan di dua masjid lagi dalam masa terdekat. Kita juga akan pergi ke masjid di Ulu Kuang memandangkan ada dalam kalangan penduduk di situ yang tiada telefon pintar. Jadi, kita akan pergi dan membantu mereka untuk pendaftaran vaksin. 
 
"Kita memberi tumpuan kepada kariah masjid kerana masjid adalah kawasan tumpuan. Selain kariah masjid dan keluarga mereka, hari ini ada juga orang luar yang datang untuk mendapat suntikan vaksinasi," katanya. 
 
Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamek Al Amin Tambun Datuk Rozi Puteh Ismail; Pengerusi Yayasan Aiman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.  
 
Seramai 18 petugas termasuk tiga doktor terbabit sepanjang proses pemberian vaksinasi pada hari ini.