IPOH- Projek Pertanian Bandar atau urban farming di kaki Gunung Matsoorat bakal menjadikan tarikan pelancongan sekiranya sektor pelancongan di negeri ini dibuka semula.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata projek yang melibatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Green Valley Agriculture itu sedang giat dilaksanakan.

“Gunung Matsoorat merupakan lokasi prasejarah berusia lebih 5,000 tahun yang kini menjadi antara warisan arkeologi bandar Ipoh. Lokasi ini menjadi lebih menarik setelah wujudnya urban farming yang berkonsepkan ‘Little Cameron” .

“Begitu wujudnya Pavilion Petting Zoo di Gunung Lang, saya yakin pusat rekreasi popular di bandaraya Ipoh ini akan menerima lebih ramai pengunjung.

“Kita sedang memperkemaskan lagi produk pelancongan bandar Ipoh yang merangkumi kepelbagaian bangsa iaitu Jejak Warisan Kantonis, Jejak Warisan India dan Jejak Warisan Melayu. Produk baru ini akan dilancarkan bersama Tourism Perak namun ianya bergantung kepada situasi semasa,” katanya kepada Peraktastic sewaktu  lawatannya ke Pavilion Petting Zoo semalam.

Menurut Rumaizi, melihat kepada kekangan ekonomi yang disedang dihadapi, pemain-pemain industri pelancongan haruslah mengetengahkan konsep kos rendah mampu milik kepada golongan seperti B40. Namun begitu mereka haruslah memastikan kualiti dan perkhidmatan sentiasa yang terbaik.

Rumaizi juga menegaskan kepentingan mewujudkan infrastruktur berkonsepkan pelancongan  adalah perlu serta mengelakkan penggunaaan perkara-perkara yang tidak mesra alam sekitar.

“Seperti matlamat menjadikan Ipoh bandar rendah karbon menjelang 2030, kita seharusnya memfokuskan unsur-unsur pembangunan yang memberi kesan baik kepada alam sekitar dan masyarakat,” ujarnya.