IPOH- Kenyataan kos umrah yang dikatakan meningkat sekali ganda di media sosial mendapat perhatian Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah (Puhaz).

Timbalan Pengerusi Puhaz, Mohamad Jamaluddin berkata masyarakat kini semakin bimbang dan keliru berhubung kenaikan kos umrah kesan daripada pandemik Covid-19.

“Kenyataan pakej menunaikan umrah pasca Covid-19 dijangka meningkat sekali ganda itu berikutan pelbagai syarat tambahan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sebenarnya tidak berlaku sebarang kenaikan kos malah ianya masih pada harga yang sama. Kenaikan yang dimaksudkan ialah mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan Arab Saudi.

“Sebagai contoh, kos penginapan daripada empat orang sebilik kepada dua orang sebilik. Begitu juga kapasiti pengangkutan dikurangkan kepada separuh dan kos insuran turut terlibat sebagai langkah keselamatan menghadapi wabak ini," katanya pada Peraktastic selepas Mesyuarat Agong Puhaz ke-2, semalam.

Menurut Mohamad, walaubagaimana pun jawatankuasa tertinggi Puhaz akan mengadakan lawatan ke Makkah pada masa terdekat untuk membuat pemantauan berhubung SOP yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Hasil dari lawatan ke Mekah itu nanti, kami akan memaklumkan secara terperinci apakah masalah sebenar yang timbul selain dari ketetapan SOP oleh kerajaan Arab Saudi. Saya yakin isu kenaikan kos ini bersifat sementara dan akan berubah mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada masyarakat sekiranya terdapat mana-mana agensi yang menyiarkan sebarang bentuk iklan umrah bersama harga pakej, diminta memaklumkan kepada  Puhaz untuk tindakan lanjut. Iklan bersama harga pakej umrah tidak dibenarkan selagi tidak mendapat kebenaran dari pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac). Hanya pihak Motac yang boleh mengeluarkan harga pakej tersebut," tegasnya.