IPOH - Kira-kira 60 peniaga di Pasar Pasir Pinji kini boleh menarik nafas lega kerana aduan mereka berhubung kerosakan bumbung di premis terbabit sudah mendapat tindakan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). 

Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng berkata, pasar itu sudah uzur kerana sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu. 
 
Menurutnya, sebelum ini MBI ada membaiki bumbung terbabit namun ia bocor semula sehingga menyebabkan berlakunya litar pintas beberapa kali serta boleh membahayakan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.
 
"Berikutan itu, peniaga di pasar ini bertindak membuat aduan dan MBI segera memberi respon pantas dengan menjalankan kerja-kerja membaik pulih mulai hari ini. 
 
"Kos membaik pulih pulih bumbung yang bernilai RM300,000 ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 9 September," katanya kepada Peraktastic pada Jumaat. 
 
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi turun padang meninjau kerja-kerja pembaikan bumbung itu bersama Ahli Majlis MBI Zon 15 (Pasir Pinji), Tony Khoo Boon Chuan; Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Pasir Pinji, Teh Chinyang dan Ketua Kampung Pasir Pinji, Jimmy Chua di sini.
 
Richard mengucapkan terima kasih kepada MBI kerana cakna dan pantas bertindak di atas aduan yang diterima daripada peniaga berhubung masalah kerosakan bumbung pasar terbabit.
 
"Bagaimanapun, kita mohon supaya kerja-kerja membaik pulih ini dijalankan selepas jam 1 tengah hari bagi memberi laluan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka. 
 
"Tambahan, ada dalam kalangan peniaga yang sedang giat menjual kuih bulan di pasar ini," jelasnya. 
 
Sehubungan itu, Richard berharap peniaga dan pengunjung akan lebih yakin menjalankan aktiviti jual beli di pasar tersebut dengan selamat sejurus kerja-kerja membaik pulih terbabit siap kelak.