IPOH - Rumah Teduhan Hawa adalah sebuah penempatan sementara untuk membela nasib wanita yang berhadapan pelbagai masalah sosial antaranya termasuklah menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan hilang tempat berteduh. 
 
Pengurusnya, Rohaniah Razali berkata, rumah ini menjadi transit kepada wanita yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan pihak pengurusan akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan wanita terbabit. 
 
Menurutnya, perbelanjaan untuk menguruskan rumah terbabit hanya menggunakan wang sumbangan rakan-rakan dan orang ramai. 
 
"Rumah ini dibuka kepada semua bangsa tidak terhad kepada kaum Melayu sahaja. Kita akan membantu wanita-wanita terbabit sehingga mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya kepada Peraktastic pada Jumaat. 
 
Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan set meja makan, mesin basuh, barangan keperluan bayi dan wang tunai bagi membantu meringankan beban penghuni di rumah terbabit.
 
Sumbangan di bawah program MBI Prihatin itu adalah daripada Jawatankuasa Kecil Kebajikan dan Kemiskinan Bandar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). 
 
Hadir sama, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kecil Kebajikan dan Kemiskinan Bandar MBI merangkap Ahli Majlis MBI Zon 4 (Manjoi) Syed Mohd Noor Hisam Syed Hassan dan Kamarulzaman Abdullah yang juga Ahli Majlis MBI Zon 13 (Canning); Pengarah Kanan (Perkhidmatan) MBI, Rohayah Abdul Kadir; Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat MBI, Faridah Sulaiman dan Ketua Unit Pusat Setempat MBI, Muhammad Nasrul Hadi Jukun Naim. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Rohaniah berkata, pada waktu pandemik Covid-19, pihaknya akan memastikan mereka yang ingin mendapatkan perlindungan di sini perlu menjalani ujian calitan (swab test) terlebih dahulu sebelum dibenarkan tinggal di rumah berkenaan. 
 
"Seorang penghuni di sini berusia 26 tahun dan mengidap penyakit kencing manis serta mengalami masalah buah pinggang. Wanita terbabit menjalani swab test terlebih dahulu melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan apabila keputusan disahkan negatif, baru kita benarkan dia untuk tinggal di sini," jelasnya. 
 
Katanya, pihak pengurusan kini dalam proses untuk membuat pendaftaran rumah terbabit di bawah JKM. 
 
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan program MBI Prihatin ini dari semasa ke semasa bagi membantu golongan yang memerlukan. 
 
"Seperti yang diumumkan di dalam Bajet MBI 2022, InshaALLAH program MBI Prihatin akan diteruskan pada tahun hadapan memandangkan sambutan dilihat amat menggalakkan," ujarnya. 
 
Katanya, sehingga semalam (2 September) lebih RM900,000 dibelanjakan sejak MBI melancarkan program MBI Prihatin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
 
Tambahnya, program MBI Prihatin banyak membantu penduduk, peniaga serta warga MBI sendiri yang dibiayai oleh MBI serta rakan strategik MBI, Econsave serta penaja lain seperti Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad, Daboba Berhad dan Bonanza Ventures Holding Sdn Bhd (BVH).