PUTRAJAYA – Perak tersenarai antara tujuh negeri yang akan diberi perhatian khusus kerajaan bagi meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19.

Negeri lain ialah Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Terengganu dan Pahang.

Perak merekodkan 14,318 kes positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu sehingga semalam dengan kes terkini sebanyak 1,389.

Sehingga kini seramai 1,236,462 orang atau 49.3 peratus penduduk Perak telah menerima suntikan dos pertama daripada jumlah yang berdaftar iaitu 1,562,535 orang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati negeri-negeri itu mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 55 peratus.

Beliau berkata, CITF juga akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan vaksin dapat disuntik kepada penduduk yang jauh di pedalaman.

“Untuk makluman, 17 organisasi telah diberikan kebenaran bagi melaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di bawah Program Imunisasi Covid-19 (PICK).

“Justeru, CITF menyeru agar negeri-negeri terus berhubung dengan organisasi ini yang berpengalaman menjalankan program PPV bergerak,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Katanya, inisiatif vaksinasi secara pandu lalu dan jumpa terus (walk-in) juga akan terus diperhebatkan dan diperluaskan lagi di negeri-negeri berkenaan.

Menurutnya, inisiatif suntikan vaksin Covid-19 secara walk-in di 11 buah negeri bermula hari ini iaitu di Sabah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Johor, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.