GOPENG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Kinta Baru, Gopeng dekat sini semalam ditemui lemas dalam sebuah lombong.

Mayat mangsa, Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, ditemui oleh pasukan pencari pada pukul 10 pagi tadi.

Kanak-kanak itu yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu selain hiper aktif disedari hilang oleh ahli keluarganya pada pukul 6.30 petang semalam sebelum melakukan pencarian tetapi gagal.

Berikutan itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis sebelum usaha mencari melibatkan pihak bomba, polis dan agensi lain pada pukul 10.29 malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak memberitahu, gerakan mencari disambung semula pagi tadi pada pukul 8.30 pagi bersama Unit K9 polis.

Menurut jurucakap tersebut, mayat mangsa ditemui pihak polis dalam keadaan terapung dalam lombong berkenaan.

“Bantuan bomba telah diminta untuk mengeluarkan mayat berkenaan dan diserahkan kepada polis.

“Pengecaman juga telah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa," ujar kenyataan itu.

Operasi yang diketuai PBK II Nor Zamri A. Wahab itu tamat pada pukul 11.15 pagi.