IPOH – Satu rakaman video menunjukkan aksi seorang lelaki menghayunkan sebilah sabit panjang mengamuk sambil berdiri di atas sebuah kereta peronda polis tular di laman sosial sejak pagi tadi.

Kejadian itu dikatakan berlaku di hadapan Balai Polis Gopeng dengan disaksikan orang ramai.

Menerusi klip video itu, lelaki tersebut yang hanya berseluar jeans sedang menghayun senjatanya kepada orang ramai yang berada di kawasan sekitar sambil menjerit-jerit

Turut dilihat ialah beberapa orang anggota polis bersama perisai cuba mendekati lelaki itu manakala sepasukan anggota bomba pula bersiap sedia bersama hos pemancut air.

Lelaki itu kemudian berjaya ditahan polis dengan bantuan bomba yang menyembur air ke arahnya sebelum dia dilihat jatuh dari bumbung kereta.

Beberapa pengguna laman sosial memberi komen dengan mengatakan lelaki berkenaan kurang siuman serta ada juga yang mengaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Bagaimana pun, maklumat sebenar punca kejadian itu masih belum diketahui.