IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memohon maaf di atas gangguan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh. 

MBI dalam satu kenyataan menjelaskan, perkara itu berlaku berikutan proses vaksinasi pekerja-pekerja MBI dan LTC Alam Bersih Sdn Bhd sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pekerja-pekerja terbabit dilindungi sekaligus menyumbang kepada imuniti kelompok yang disasarkan oleh kerajaan. 
 
Bagaimanapun, MBI akan sentiasa memastikan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan tidak menimbulkan banyak masalah serta akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah berkenaan. 
 
Berikutan itu, warga Ipoh boleh menghubungi talian hotline MBI 05-255 1515 atau melalui aplikasi Whatsapp di 019-550 3083 jika menghadapi sebarang masalah berkaitan kutipan sampah dan pembersihan.
 
"Semoga vaksinasi terhadap pekerja-pekerja MBI dan LTC Alam Bersih Sdn Bhd akan membantu memberi perlindungan kepada mereka supaya kesejahteraan pekerja terbabit dan warga Ipoh terpelihara dalam tempoh pandemik Covid-19 ini," ujar kenyataan berkenaan.