IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mempelopori projek pertanian bandar dan kebun bandar secara tersusun menerusi penglibatan komuniti setempat dalam usaha menggalakkan lagi aktiviti pertanian bagi membekalkan sumber makanan secara berdikari.

Idea konsep pertanian bandar ini tercetus semasa penularan wabak Covid-19 disebabkan tiada pergerakan import dan eksport bahan-bahan mentah yang menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, konsep pertanian ini sebenarnya telah dilakukan di bandar-bandar negara maju misalnya Taiwan dan ia boleh dilaksanakan di sini kerana ia tidak rumit untuk dikendalikan.

Menurut beliau, pelaksanaan garis panduan ini dapat menyemarakkan lagi aktiviti perkebunan masyarakat bandar selaras dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar pada peringkat nasional yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 3 Ogos lalu

“Garis Panduan MBI ini merupakan penanaman dan penternakan secara intensif dalam bandar dan kawasan sekitarnya dengan keluasan maksimum kurang daripada 0.4 hektar.

“Manakala Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar adalah kawasan tanah yang diurus oleh penduduk setempat mengikut cara sendiri. Keluasan tapak adalah berskala kecil iaitu maksimum kurang daripada 0.4 hektar dan pemohon perlu memohon sebagai satu komuniti dan bukan secara individu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau projek pertanian bandar di kaki Gunung Masoorat yang bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) serta kolabarasi Green Valley Agriculture dan Rymba Management & Leisure Sdn Bhd.

Ini merupakan projek rintis dan menariknya, kawasan ini juga akan dijadikan salah satu tempat eko-pelancongan bagi menarik pengunjung.

Sebanyak 650 pasu pokok cili jenis Kulai ditanam di kawasan seluas 650 meter persegi secara tanaman hidroponik dan fertigasi yang boleh dituai dalam masa tiga bulan selepas semaian.

Dalam pada itu kata Rumaizi, melalui cadangan yang akan dilaksanakan di kawasan kaki Gunung Masoorat ini ia diharap dapat menyokong usaha Kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan Negara.

“Antara lokasi yang dibenarkan bagi garis panduan pertanian bandar ialah kaki gunung, rizab sungai, rizab rentis TNB, hutan tanah kerajaan dan tanah rizab MBI dengan mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM Aktiviti – KM20) melalui Unit Pusat Setempat (OSC).

“Bagi garis panduan kebun komuniti bandar pula antara lokasi dibenarkan ialah tanah bekas lombong, zon penampan, kawasan lapang yang tidak aktif, rizab jalan belum dibina dan rizab simpanan khas dengan mengisi borong permohonan di Jabatan Perancang Bandar mulai 1 Oktober ini,” ujar beliau.


Dengan wujudnya garis panduan ini, ia diharap dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta keceriaan persekitaran bandar.

Projek ini juga dapat menyelaras kerjasama di antara agensi serta mewujudkan platform bagi menggalakkan penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan pertanian bandar dan kebun komuniti bandar dalam menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih 2023.