IPOH - Kira-kira 1,500 keluarga di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pinji telah menerima bantuan dalam pelbagai bentuk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan melalui prorgram Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin. 
 
Bantuan itu disampaikan melalui Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng kepada keluarga miskin, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat dari golongan memerlukan. 
 
Richard berkata, hari ini seramai 35 warga emas yang lengkap dua dos vaksinasi menerima insentif sumbangan barangan MBI Prihatin sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menyahut seruan kerajaan untuk mendapatkan suntikan vaksin. 
 
"Selain itu, hari ini sedikit istimewa kerana kita turut menyampaikan kuih bulan dan tanglung bagi memperingati sambutan musim luruh dalam masyarakat kantonis sebagai tanda kesyukuran di atas rezeki yang diberikan kepada mereka," katanya kepada Peraktastic, hari ini. 
 
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Kuih Bulan dan Tanglung kepada warga emas yang lengkap vaksinasi di Dewan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pinji, di sini.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Richard berkata, pihaknya dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Pasir Pinji akan terus menjejak mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
 
"Pada masa sama, kita juga akan terus membantu masyarakat setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin supaya imuniti kelompok dapat dicapai dalam tempoh terdekat," jelasnya.
 
Katanya, jika masyarakat lengkap dos vaksinasi, sektor ekonomi boleh dibuka semula sekaligus membolehkan peniaga kecil, pengusaha industri kecil dan sederhana beroperasi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan B40 khususnya.