IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong mengambil inisiatif melaksanakan program 'Soup Kitchen' iaitu pemberian pek makanan bagi keluarga yang dikuarantin akibat Covid-19, di sini. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 7 (Buntong), A Ganesan hari ini turut bersama-sama turun padang membantu mengagihkan pek makan tengah hari kepada penghuni yang dikuarantin di luar rumah masing-masing. 
 
Makanan yang ditaja di bawah program MBI Prihatin itu dimasak secara bergotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong. 
 
Setiausaha KRT Taman Harmoni Buntong, P Matthew berkata, program ini telah bermula sejak 28 Ogos lalu dan pemberian makanan itu dilakukan dua kali sehari iaitu tengah hari serta malam. 
 
Katanya, setakat ini sebanyak 14 keluarga membabitkan 72 orang menerima pek makanan berkenaan. 
 
"Tujuan kita melaksanakan program ini adalah untuk mengelakkan penghuni yang dikuarantin tidak keluar daripada rumah bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19. 
 
"Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita berharap ada pihak dari mana-mana organisasi atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan tampil untuk membantu," katanya kepada Peraktastic hari ini.