IPOH - Pasaraya Mydin di Manjoi diarahkan tutup oleh pihak berkuasa buat sementara bagi menjalankan kerja-kerja disinfeksi berikutan terdapat kes positif Covid-19 di premis itu.

Kerja-kerja tersebut akan dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Pasaraya Mydin dalam satu kenyataannya memberitahu, prosedur disinfeksi dan sanitasi menyeluruh oleh itu dijalankan semalam.

Kata kenyataan tersebut, prosedur dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Individu terbabit sedang mendapatkan rawatan manakala kontak rapat telah dikenalpasti dan dikuarantin dengan bantuan KKM.

“Maklumat mengenai tarikh dan waktu operasi Mydin Manjoi akan dimaklumkan kelak setelah mendapat kebenaran daripada KKM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Pasaraya Mydin sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan kakitangan dan komuniti setempat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.