IPOH - Jabatan Kesihatan negeri (JKN) Perak menafikan berita tular dalam media sosial beberapa hari lalu kononnya pesakit Covid-19 Orang Asli melarikan diri ke dalam hutan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, tiada laporan rasmi diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar mengenai perkara yang disebarkan itu sejak dua hari lalu.

Menurut beliau, video pengebumian yang tular di perkampungan Orang Asli Ulu Geroh, Gopeng itu berkemungkinan berlaku pada 14 September lalu.

"Ia membabitkan jenazah Orang Asli yang lewat sampai ke kampung iaitu kira-kira jam 7 malam.

"Oleh kerana petugas dan dua waris sudah ada dan menunggu di sana, jadi mereka teruskan pengebumian," katanya di sini hari ini.

Sejak dua hari lalu tular satu video berdurasi 24 saat memaparkan anggota JKN lengkap memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) mengusung jenazah menyeberangi sungai.

Video itu turut mendakwa seramai 250 orang Orang Asli di Gopeng positif Covid-19 selain ada yang melarikan diri masuk ke dalam hutan.

Malah dikatakan terdapat enam kematian termasuk Tok Batin serta meminta orang ramai tidak mandi di sungai berdekatan.

Mengulas lanjut kata Dr Ding, difahamkan lokasi tapak pengebumian jenazah Orang Asli tersebut adalah di seberang sungai di kampung itu.

"Petugas terpaksa membawa jenazah menyeberangi sungai melalui jambatan buluh.

"Jenazah diuruskan sebagaimana urusan jenazah pesakit covid-19 iaitu dibalut dengan lapisan pelindung, disinfeksi dan ditanam di tapak perkuburan kampung Orang Asli terbabit," katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 204 kes positif kumulatif Covid-19 dilaporkan di Kampung Ulu Groh, Gopeng dengan enam kematian direkodkan dalam kalangan penduduk Orang Asli di situ.

Seramai 191 kes positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai, dua kes ke PKRC Arena Ipoh, 10 kes dimasukkan ke hospital dan satu kematian di rumah (BID).