IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan mesej tular dalam media sosial kononnya 90 peratus peniaga di Pasar Buntong dijangkiti Covid-19.
 
Selain mesej itu, terdapat video berdurasi 31 saat yang turut tular di media sosial menunjukkan dua lelaki lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) di luar pasar berkenaan. 
 
MBI dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan menutup Pasar Buntong selama sehari iaitu esok bagi menjalani kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan. 
 
Kerja-kerja itu dilakukan selepas terdapat empat kes positif yang dilaporkan di pasar berkenaan.
 
Bagaimanapun, pasar terbabit akan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa pada Rabu (22 September). 
 
"Sehubungan itu, diharap kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan yang dilaksanakan MBI dapat memberi keselesaan kepada pengunjung pada masa akan datang," jelas kenyataan berkenaan. 
 
 
Terdahulu, peniaga-peniaga di Pasar Buntong meluahkan ketidakpuasan hati mereka di atas penyebaran mesej dan video yang tular sejak minggu lalu sehingga mengakibatkan perniagaan mereka terjejas. 
 
Penjual daging kambing di pasar terbabit, S Palliah Samuel, 44, berkata penyebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp itu mendatangkan keresahan terhadap pengunjung pasar berkenaan. 
 
"Kami sebagai peniaga terkejut dengan dakwaan mesej itu yang menyatakan seramai 90 peratus peniaga dijangkiti Covid-19.
 
"Mesej yang tular sejak Khamis lalu itu menyebabkan ramai yang tidak mengunjungi pasar ini pada hari minggu sehingga menyebabkan pendapatan kami terjejas," katanya yang sudah 25 tahun berniaga di pasar terbabit. 
 
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 7 (Buntong) A Ganesan berkata, MBI amat mengambil berat mengenai peniaga-peniaga dan tindakan segera akan diambil jika terdapat kes Covid-19 berlaku di pasar berkenaan. 
 
"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana MBI sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan menjalankan kerja pembersihan dan disinfeksi di pasar ini mengikut jadual ditetapkan. Malahan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut membantu melaksanakan kerja-kerja sanitasi di premis ini," jelasnya pada sidang media yang diadakan hari ini.