IPOH – Pasaraya AEON Mall Ipoh Station 18 di Jalan Pasir Puteh di sini ditutup buat sementara bagi menjalankan kerja-kerja disinfeksi berikutan terdapat kes positif Covid-19 di premis itu.

Arahan penutupan tersebut dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Daerah Kinta bermula esok.

Pengurusan AEON Co (M) Berhad dalam satu kenyataan memberitahu, prosedur disinfeksi dan sanitasi menyeluruh akan dijalankan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan tersebut, arahan penutupan berkenaan susulan terdapat beberapa kakitangan pasaraya yang disahkan positif Covid-19.

“Pengesanan kontak rapat sedang dilakukan oleh KKM manakala penutupan ini adalah untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan agar dapat dilakukan.

“Petugas yang disahkan positif Covid-19 juga sedang menjalani kuarantin manakala ujian saringan lanjut akan dilakukan pada petugas-petugas lain,” ujar kenyataan itu.

Berikutan penutupan tersebut, pihak pasaraya turut menggantung sementara operasi pesanan secara dalam talian manakala pesanan yang dibuat selepas hari Rabu dibatalkan.

Menurut kenyataan tersebut, pembukaan semula pasaraya AEON Mall Ipoh Station 18 pula akan dimaklumkan sehingga diberitahu kelak.

Para pelanggan juga boleh melayari laman Facebook AEON Mall Ipoh Station 18 untuk mengetahui sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.