IPOH - Seramai 250 pegawai dan warga Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) terlibat pada program derma darah dan tahlil perdana sempena ulangtahun ke-58 pasukan itu baru-baru ini.

Program derma darah ini bagi menampung stok Unit Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurut Markas Briged Kedua Infantri Malaysia, ia untuk membantu dan memberi sokongan terhadap rangka usaha bagi meningkatkan bekalan darah yang semakin berkurangan.

"Program ini merupakan kolaborasi antara Tentera Darat (TD) bersama pihak hospital bagi membantu menampung bekalan darah di HRPB dan Hospital Taiping.

"Ia juga menyokong Pusat Darah Negara sekali gus membuktikan komitmen warga TD demi kepentingan masyarakat umum" kata kenyataan pasukan itu pada laman Facebook rasminya.

Acara simbolik penyerahan tabung darah disempurnakan oleh gegawai gerak 2 RRD kepada pihak HRPB.

Dalam pada itu, turut diadakan ialah program tahlil perdana bertempat di surau pasukan bagi menghayati ulangtahun penubuhan batalion tersebut.

Ia juga signifikan ini selaras dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu peningkatan hubungan Tentera Darat dengan awam.