IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyarankan penduduk di sekitar bandar raya ini supaya menggunakan tong sampah yang diberikan secara berhemah dan melarang membuang lambakan sampah di tempat awam. 
 
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Mahader Ahmad Mohammad Ayob berkata, Bandar Baru Menglembu adalah lokasi ketiga pemberian tong sampah secara percuma oleh MBI selepas Bandar Baru Putra dan Buntong Ria. 
 
Menurutnya, sebanyak 845 tong sampah berkapasiti 120 liter setiap satu diedarkan kepada penduduk di kawasan berkenaan yang menjadi projek perintis di Zon Menglembu. 
 
"Hari ini kita akan edarkan tong sampah kepada penduduk dan berharap mereka dapat mengamalkan sikap menggunakannya dengan cara yang betul. Selain itu, kita turut memberikan risalah cara penggunaan tong sampah kepada mereka," ujarnya. 
 
Beliau berkata demikian pada Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Bandar Baru Menglembu, hari ini. 
 
Hadir sama, Pengarah Kanan Pentadbiran dan Operasi MBI, Musa Dun; Pengarah Kesihatan Bandaraya MBI, Mohd Alias Kamaruddin; Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, S Manisegaran dan Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon Menglembu, Kuan Wai Kiat.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Mahader berharap melalui aktiviti yang dijalankan MBI pada ini dapat membudayakan sekaligus membentuk masyarakat yang mementingkan kebersihan. 
 
"Pemberian tong sampah secara percuma ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan MBI dan menyasarkan akan membekalkannya secara percuma di
seluruh bandar raya Ipoh," ujarnya. 
 
Menyentuh mengenai jadual kutipan sampah, beliau menjelaskan jadual kutipan sampah di Zon Menglembu masih sebanyak tiga kali seminggu seperti sebelum ini. 
 
"Sebelum ini, terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19 menyebabkan jadual kutipan sampah sedikit terganggu. 
 
"Bagaimanapun, diharap keadaan akan bertambah baik dalam masa terdekat," katanya. 
 
Sementara itu, seorang penduduk, Hee Sing Koon, 71, mengucapkan terima kasih kepada MBI kerana sudi memberikan tong sampah percuma kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit. 
 
Dia berharap tiada lagi masalah longgokan sampah memandangkan masing-masing sudah diberi tanggungjawab untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang diberikan itu.