SUNGAI SIPUT – Penduduk tiga buah kampung di Sungai Siput terpaksa dipindahkan sejak malam tadi setelah kediaman mereka dinaiki air berikutan kejadian banjir kilat.

Mereka yang terjejas seramai 97 penduduk daripada 20 keluarga yang terdiri daripada 44 lelaki manakala 53 wanita.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, hujan yang turut sejak petang semalam menyebabkan air melimpah ke kawasan rendah.

Menurut jurucakap itu, tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka sejak pukul 12 tengah malam tadi dan usaha memindahkan penduduk dilakukan oleh pasukan penyelamat serta dibantu penduduk kampung.

"Tiga PPS adalah di Dewan Lintang yang menempatkan 21 mangsa diikuti PPS Dewan Tok Sirat (61) dan PPS Sekolah Kebangsaan Lasah (15).

“Mangsa-mangsa adalah dari Kampung Chior dan Kampung Tok Sirat di Lasah serta Kampung Lintang,” ujar jurucakap tersebut.

Ketika ini hujan telah berhenti pada sebelah pagi manakala sesetengah kawasan masih ditenggelami air sehingga paras kira-kira 0.9 meter.

Pemantauan berkala masih dilakukan oleh pihak bomba bersama agensi penyelamat yang lain untuk memantau keadaan banjir.