LUMUT – Kerajaan negeri Perak menyalurkan bantuan sebanyak RM100,000 untuk kos membaiki rumah mangsa yang terjejas akibat ribut di sekitar Lumut dan Beruas minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah itu disalurkan bagi kerja-kerja membaiki bumbung dan beberapa kerosakan lain dialami mangsa.

Menurut beliau, kesan bencana agak teruk dan banyak rumah penduduk yang rosak sama ada atapnya diterbangkan angin atau musnah dihempap pokok tumbang.

“Beberapa kedai peniaga kecil juga rosak. Ada juga surau-surau yang rosak. Kawasan berhampiran pantai antara yang paling teruk terkesan.

“Sebelum ini saya sudah meminta pejabat daerah untuk menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban keluarga yang terjejas,” ujar Saarani menerusi hantaran pada laman Facebook beliau semalam.

Menteri Besar yang turun padang meninjau kediaman penduduk turut melahirkan rasa simpati atas musibah yang melanda.

“Sepanjang berada di sini, rata-rata penduduk meluahkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa.

“Saya minta agar mereka bersabar atas ujian ini. Alhamdulillah, sebahagian kerja-kerja baik pulih sudah dimulakan dan selebihnya akan dilaksanakan sesegera mungkin,” kata beliau.

Pada masa sama, Saarani turut memaklumkan beberapa rumah dan premis di daerah lain turut terlibat dan pihaknya telah meminta supaya jawatankuasa pengurusan bencana daerah membuat tinjauan untuk tindakan sewajarnya.