IPOH - Sejajar dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), 'Keluarga Malaysia-Makmur, Inklusif, Mampan', terdapat tiga fokus turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh secara langsung.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud  berkata, fokus yang dimaksudkan itu melibatkan Fokus Kedua, Kelapan dan Kesembilan.

Menurutnya, Fokus Kedua iaitu ‘Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan’, langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi 4IR.

“Pada awal tahun ini, Kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara. Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Penuh MBI bagi bulan September 2021,  di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, semalam.

Sehubungan itu katanya, MBI telah memilih 19 lokasi strategik  untuk  pemasangan MBIFREEWIFI iaitu wifi percuma dengan kelajuan antara 20Mbps 100Mbps dan 300Mbps.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Oktober 2021 dengan kos keseluruhan  ini adalah sebanyak RM212,844.55.

Antara lokasi telah dipasang MBIFREEWIFI iaitu :- 

  • Bangunan Ipoh Tourists Information Centre (ITIC).
  • Surau Seri Palma (Botani).
  • Surau Taman Kanak-Kanak (TKK).
  • Masjid As-Syakirin (Ulu Kuang).
  • Dewan Bandaran.
  • Medan Kidd.
  • Dewan dan Perpustakaan Komuniti Tambun.
  • 3R (Rehat, Rawat, Rider).
  • Dewan Sungai Tapah.
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan (RPS).
  • Persisiran Sungai Kinta & Taman DR. Seenivasagam.
  • Bangunan UTC Perak.
  • People’s Park Old Town.

Tambahnya, Fokus Kelapan iaitu ‘Mempercepat Pertumbuhan Hijau’, yang memfokuskan negara neutral karbon, seawal-awalnya pada tahun 2050.

Katanya, kini MBI menuju ke arah ‘Bandar Rendah Karbon’ menjelang tahun 2030 dan antara program 'quick win'nya adalah melaksanakan program ‘Pertanian Bandar dan Kebun Komuniti’ di sekitar Bandaraya Ipoh.

Sementara itu, Fokus Kelapan pula ‘Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam Dan Memastikan Pelaksanaan Dasar Yang Berkesan’ iaitu Perkhidmatan Awam yang menjadi nadi pentadbiran negara akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

“Bagi tujuan ini, perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.”