IPOH – Pasar raya Lotus Ipoh (dulunya Tesco) di Bercham dekat sini ditutup buat sementara bermula hari ini untuk kerja-kerja disinfeksi berikutan terdapat kes positif Covid-19.

Pengurusan Lotus Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, prosedur disinfeksi dan sanitasi menyeluruh akan dijalankan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan itu, arahan penutupan berkenaan susulan terdapat beberapa kakitangan pasar raya yang disahkan positif Covid-19.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan semua langkah yang berkenaan diambil dan akan menjalani proses pembasmian kuman.

“Ini bagi memastikan kebersihan dan keselamatan pelanggan serta rakan-rakan sekerja kami," ujar kenyataan tersebut.

Berikutan penutupan tersebut, pihak pasar raya memohon maaf atas kesulitan kepada pelanggan.

Pembukaan semula pasaraya Lotus Ipoh  akan dimaklumkan sehingga diberitahu kelak.