IPOH - Polis Perak berjaya merampas dadah bernilai RM276,102.50 dan menahan tiga individu, termasuk dua wanita dalam dua serbuan di Lahat, Ipoh pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Faridalathrash Wahid berkata, lelaki warga India berusia 42 tahun bersama-sama seorang wanita warga Indonesia dan warga tempatan berumur 21 dan 26 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua serbuan tersebut ialah RM276,102.50.

Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek ini kita telah buat ujian urin ke atas ketiga-tiga mereka dapati negatif dan mereka juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

Menurutnya, lelaki itu diberkas di sebuah rumah bersama 62 ketulan mampan daun kering disyaki ganja manakala dua wanita diberkas ganja 2.05 gram dan 1,400 biji pil kuda.

“Kita juga telah mengambil tindakan untuk menyita beberapa barangan dalam serbuan tersebut dan kita telah menyita sebuah lori, sebuah kereta, sebuah motosikal dan barang kemas yang berjumlah RM86,663,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan dah yang dirampas itu yang dipercayai diperolehi dari sebuah negeri di Utara Semenanjung, boleh digunakan untuk 151,400 penagih.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek direman enam hari sehingga 10 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Polis percaya ketiga-tiga suspek itu merupakan ahli kepada kumpulan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak tiga bulan lalu.

Polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Perak turut merekrut warga asing sebagai anggota kumpulan mereka.