IPOH-  Program MY Love -PTR ‘Malaysia Prihatin’ anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTR) sempena Hari Kemerdekaan ke -64 telah menerima sebanyak 227 penyertaan.

Penolong Pegawai Tadbir PTR, Rohayu Tahir berkata sebanyak empat kategori telah dipertandingankan antaranya melukis, mewarna, pakaian beragam dan deklamasi puisi.

“Penyertaan begitu menggalakkan bagi semua kategori yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi  media sosial Instagram. Saya tidak menjangka terdapat beberapa penyertaan melibatkan peserta dari luar negeri Perak.

“Kepada pemenang-pemenang khususnya kategori kanak-kanak kami hanya membenarkan ibu bapa datang mengambil hadiah kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita akan meneruskan lagi pertandingan ini pada tahun hadapan. Saya berharap akan lebih meriah dan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan, “ katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Program My Love-PTR ‘Malaysia Prihatin’ di PTR hari ini.

Pertandingan Melukis (12 tahun ke atas) juara dimenangi oleh Woo Mei Shan. Pertandingan Melukis Kategori A (4-6 tahun) juara dimenangi oleh Nur Umiera Sufyan Al Anshary, Ketogori B (7-11 tahun) juara dimenangi oleh Nurul Jannah Mohamad Shaiful.

Bagi Kategori Pakaian Beragam (4-9 tahun) juara dimenangi oleh Mohammad Akif Zikry Mohd Affif Khairi dan Kategori Deklamasi Puisi juara dimenangi oleh Nursyafiqah Amirudin.

Kesemua pemenang menerima wang tunai dan sijil penghargaan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PTR, Ho Eai Mun berkata penganjuran pertandingan seumpamanya ini telah berjaya menarik minat pelbagai golongan masyarakat dan peringkat usia.

“Saya percaya, pertandingan yang bertemakan Malaysia Prihatin ini bukanlah dilihat dari nilai hadiah yang disediakan tetapi usaha memupuk semangat nasionalisme adalah penting untuk melahirkan generasi cinta pada negara.

“Kita sedang melalui pandemik Covid-19, namun ianya tidak menghalang untuk kita menjalankan pertandingan menerusi dalam talian. Ternyata ianya telah mendapat sambutan yang baik dan kita telah menyaksikan pelbagai kreativiti telah dipersembahkan,” katanya yang juga merangkap Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham).

Pada masa yang sama majlis juga turut menghargai dua orang pesara PTR iaitu Mohd Zubir Zainuddin dan A. Muniandy dengan menyampaikan cenderahari sebagai kenang-kenangan.