IPOH- Bersempena ‘Bulan Kesedaran Barah Payudara - Pink Oktober’, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh (PHI), Chong Siet Fong, menyarankan semua wanita berumur 40 tahun ke atas untuk melakukan ujian saringan mamogram.

Katanya, ujian saringan mamogram itu, merupakan program kerjasama Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) bagi membantu komuniti khususnya golongan wanita yang kurang berkemampuan.

“Ujian ini percuma ini, kami mensasarkan golongan wanita berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000.00. 

“Sekiranya ada di kalangan wanita yang berminat dan layak dengan syarat berikut, bolehlah menghubungi Imaging Department PHI, di talian 05-5405659.

“Ini merupakan keperhatinan kami kepada masyarakat sebagai meraikan sambutan ulang tahun PHI yang ke-25 tahun, selain menyumbangkan kotak makanan dan penjagaan kesihatan kepada golongan terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya selepas menyampaikan 250 buah kotak makanan kepada Pusat Komuniti Good Shepherd Services (GSS), Buntong, hari ini.

GSS merupakan sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan, beroperasi di bawah syarikat Good Shepherd Sisters yang telah ditubuhkan sejak 1956 bagi membantu komuniti setempat terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Pengurus GSS, Beatrice Lim berkata pihaknya begitu berbesar hati menerima sumbangan kotak makanan dari PHI dan akan mengedarkan kepada golongan B40.

“Kita juga menyambut baik program ujian saringan mammogram yang dilakasanakan oleh PHI dengan NCSM. Kami akan menguruskan pendaftraan kepada semua yang berminat untuk mendapat pekhidmatan tersebut,” katanya.

Wan Nor Rosnani Wan Nor Rusli, 33, seorang ibu tunggal berkata pemberian kotak makanan ini sememangnya membantu perbelanjaan sehariannya bersama tiga orang anak dan dua orang anak saudaranya.

“Saya berterima kasih kepada pusat komuniti ini yang begitu prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa. Begitu juga PHI yang telah menghulurkan bantuan kotak makanan yang dapat meringankan sedikit perbelanjaan seharian saya,” katanya yang bekerja di sebuah pasaraya berdekatan.

Seorang lagi penerima, C.Paruvathy, 66, berkata pandemik Covid-19 banyak memberi kesan kepada keluarganya.

“Kotak makanan ini melegakan saya walaupun seketika. Buat sementara waktu ini, saya tidak perlu ke kedai untuk membeli barang makanan dan menjamin keselamatan saya,” katanya yang ditemani oleh cucunya.