TELUK INTAN – Usaha mencari seorang lelaki kemurungan yang dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap di sini sejak kelmarin disambung hari ini.

Operasi pencarian yang masuk hari ketiga ini bermula pukul 8.14 pagi tadi melibatkan 65 anggota pelbagai agensi yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, kawasan pencarian kini diperluaskan kepada radius tiga kilometer (km) menggunakan tenik pergerakan kipas.

Menurut jurucakap tersebut, lelaki berusia 36 tahun itu keluar dari rumahnya di Taman Desa Maju Perak, Langkap dipercayai secara bersendirian dengan menunggang motosikal.

“Kehilangan lelaki itu disedari isterinya kira-kira pukul 1 petang hari yang sama sebelum wanita itu dimaklumkan oleh abang mangsa yang menjumpai motosikal dan telefon bimbit adiknya di kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong.

“Pihak bomba pula dimaklumkan tentang kejadian ini pada pukul 8.14 pagi pada Khamis lalu melancarkan gerakan mencari mangsa,” ujar jurucakap berkenaan.

Selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, pasukan lain yang terlibat adalah Unit K9 bomba, Pasukan Multi-Skill Team bomba (MUST), Unit STORM, Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung

Operasi diketuai PPgB Mohd. Ismail Mohd. Yunus.