IPOH – Warga Perak diseru sama-sama menyahut semangat Hari Sukan Negara (HSN) dengan mengadakan aktiviti sukan di kawasan kediaman dan komuniti masing-masing secara individu atau berkumpulan.

Bagaimana pun, ia masih tertakluk pada pematuhan SOP sukan dan rekreasi yang sedang berkuatkuasa ketika ini. 

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, aktiviti sukan juga mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

“HSN merupakan hari yang diilhamkan sebagai hari ikonik tahunan kepada rakyat Malaysia. Saya percaya, hari ini tentunya dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat kerana pada kebiasaannya pelbagai aktiviti dan acara sukan yang akan diadakan dengan penuh meriah.

“Namun, sambutan kali ini berlangsung dalam suasana yang sederhana kerana kita masih perlu mematuhi SOP sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Meskipun begitu, saya percaya, walaupun dalam suasana krisis kesihatan yang masih membelenggu negara, sambutan HSN ini tetap meriah dan memberi makna yang istimewa untuk kita semua,” ujarnya semasa berucap ketika merasmikan sambutan HSN 2021 peringkat negeri di Stadium Perak pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed dan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Perak, Mohd. Soufi Mohd. Ibrahim.

Terdahulu, Saarani menyempurnakan gimik pelancaran HSN 2021 peringkat negeri sebelum menyertai program senamrobik bersama para peserta lain di pekarangan Stadium Perak.

Dalam pada itu kata Menteri Besar turut mengingatkan warga negeri ini agar tidak merasa selesa dengan kelonggaran-kelonggaran tertentu sebaliknya kekal mematuhi peraturan kerana negara masih berhadapan dengan krisis kesihatan Covid-19.

“Walaupun sudah ada kelonggaran-kelonggaran tertentu, jangan kita merasa terlalu selesa sehingga leka atau terlupa bahawa kita masih berdepan situasi krisis kesihatan. Jaga diri dan keluarga supaya penularan wabak COVID-19 dapat sama-sama kita hentikan,” ujar beliau.

Mengulas tentang sukan sebaga pengukuh perpaduan pula, jelas Saarani, sukan telah mengikat masyarakat sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang serta penyatuan merentasi garis-garis kaum dan agama.

“Sejak berdekad lamanya, sukan telah mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara.

Jangan sesekali kita mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif.

“Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu dan saling memahami. Jadikan sukan sebagai pentas untuk kita sama-sama mengharumkan nama negara,” ujarnya.