TELUK INTAN – Gerakan mencari seorang lelaki kemurungan yang dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap di sini sejak Rabu lalu berakhir apabila mayatnya ditemui tengah hari tadi.

Mayat mangsa ditemui oleh sepasukan anggota polis bantuan berhampiran Sungai Selinsing pada pukul 12.05 tengah hari.

Terdahulu, operasi pencarian yang masuk hari ketiga disambung pada pukul 8.30 pagi tadi melibatkan kira-kira 72 anggota pelbagai agensi.

Selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, pasukan lain yang terlibat adalah Unit K9 bomba, Pasukan Multi-Skill Team bomba (MUST), Unit STORM, Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, sebanyak tiga pasukan digerakkan untuk mencari mengikut sektor masing-masing.

Kata jurucakap itu, kaedah pencarian dilakukan secara 'fan searching'.

"Tim 1 pencarian dimulai menghala utara pada titik tiga kilometer (km) membawa ke Sungai Merbau dan pencarian sepanjang sungai.

"Tim 2 dan 3 dimulai pada titik lima km ke arah utara ke Sungai Pahlawan dan sepanjang sungai," ujar jurucakap tersebut.

Kira-kira pada pukul 12.05 tengah hari, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak melaporkan mayat dijumpai berhampiran Sungai Selinsing.

Mayat telah diambil dan dibawa keluar oleh pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk pengesahan kematian.

Kemudian mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Dengan penemuan mayat tersebut, maka operasi mencari yang diketuai PPgB Mohd. Ismail Mohd. Yunus ini tamat sepenuhnya.