IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan RM300,000 bagi menaiktarafkan Dewan Serbaguna Manjoi sebagai Klinik Sementara Manjoi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sains Alam Sekitar dan Teknologi  Hijau Negeri Perak, Muhammad Akmal Kamarudin berkata Kerajaan Negeri Perak memohon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membantu melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf klinik tersebut.

"Klinik sementara itu, asalnya adalah bangunan Dewan Serbaguna Kampung Manjoi namun ia telah dijadikan klinik sementara sejak 2016 apabila Klinik Kesihatan Manjoi yang lama dirobohkan untuk tujuan pembinaan baharu.

“Bangunan ini milik Pejabat Tanah dan Daerah Ipoh yang terletak kira-kira 80 meter dari tapak projek pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Manjoi di bawah perlaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerja-kerja pembinaan bangunan Klinik Kesihatan Manjoi baharu itu telah bermula pada 6 Mac 2018, namun ia tertangguh dan melibatkan penamatan kontrak pada 12 Februari 2020. Bagi meneruskan projek bernilai RM26,427,805.00 itu, pihak JKR telah melantik kontrak baharu. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 17 September 2021 dan dijangka siap pada 14 September 2023,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Dewan Serbaguna Manjoi (Klinik Sementara Manjoi), hari ini.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata Klinik Sementara Manjoi ini menerima jumlah pesakit sekitar 250 hingga 300 orang pesakit sehari.

“Naik taraf yang telah siap sepenuhnya ini, seolah-oleh memberi nafas baru kepada petugas-petugas hadapan. Ia telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas yang jauh lebih baik dan selesa.

“Pihak MBI juga menyumbang empat unit kerusi roda bagi kegunaan pihak klinik. Melalui sumbangan itu, akan melancarkan lagi pengurusan para pesakit yang mengunjungi klinik untuk mendapatkan rawatan.