IPOH - Jangkaan 80 peratus penduduk dewasa di negeri ini lengkap divaksin dicapai menerusi angka terbaru kelmarin sekali gus menepati sepertimana jangkaan.

Data yang dikeluarkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Perak itu menunjukkan 80.2 peratus atau 1,494,272 penduduk dewasa telah menerima dua dos suntikan Covid-19. 

Jumlah penerima dos pertama pula adalah 1,765,839 atau 94.8 peratus.

Pengerusi Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, vaksinasi harian pada Ahad lalu adalah seramai 16,277 orang.

"Alhamdulillah, Perak sudah melepasi 80 peratus vaksinasi.

"Terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama, khususnya para petugas barisan hadapan," ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.

Dalam pada itu, daerah Kampar mendahului dengan kadar vaksinasi lengkap tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 103.4 peratus atau 82,201 penduduk.

Dua lagi daerah mencatat kadar vaksinasi tertinggi ialah daerah Manjung sebanyak 88.3 peratus (162,925) dan Hulu Perak dengan 84.9 peratus (62,011).

Daerah Kinta pula mempunyai penduduk paling ramai mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu 560,139 dengan 482,452 atau 79.3 peratus telah lengkap divaksin.

Jumlah penduduk yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin adalah 1,637,869 atau 87.9 peratus daripada populasi.