BATU GAJAH - Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di kawasan kebun kepala sawit di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang dekat sini semalam.

Mangsa yang berumur 85 tahun dipercayai hilang kira-kira pukul 9 pagi semalam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis bagi membantu mencari lelaki itu pada pukul 11.30 tengah hari tadi.

Menurut jurucakap itu, operasi mencari mangsa sedang dilakukan melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah serta dibantu beberapa agensi penyelamat.

“Maklumat daripada pihak polis terdapat seorang lelaki Melayu warga emas didapati hilang semalam di sekitar kebun kelapa sawit pada pukul 9 pagi semalam.

“Operasi pencarian dilakukan di kawasan sekitar diketuai komander operasi bomba, PPgB Mohd. Norshah Shahri,” ujar jurucakap tersebut.