IPOH – Polis negeri Perak tidak menghalang mana-mana pihak atau pertubuhan yang dibenarkan untuk memberi sumbangan terutamanya yang boleh digunakan warga pasukan itu dalam tugasan seharian.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua pihak boleh tampil untuk memberikan sumbangan kerana polis tidak bersikap prejudis pada mana-mana pihak atau pertubuhan yang sah.

Menurut beliau, tiada halangan pada mana-mana pihak untuk tampil memberi sumbangan kepada pihak polis sekiranya ia berniat baik

“Sesiapa sahaja boleh beri sumbangan, pihak polis pula bersikap terbuka dan tidak menetapkan siapa siapa yang hendak memberi sumbangan.

“Yang penting ialah mereka berniat baik, justeru kita mengalu-alukan sesiapa atau mana-mana pihak yang hendak memberi sumbangan apatah lagi jika boleh digunakan menghadapi tugas harian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semasa diminta mengulas berita tular dalam beberapa laman portal berhubung bantuan 5,000 pelindung muka yang disumbangkan oleh pertubuhan Freemasons kepada polis Perak pada 15 Oktober lalu.
Sumbangan itu disampaikan Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia.
Selepas Perak, pertubuhan itu bercadang untuk melakukan sumbangan sama pada pasukan polis di Pulau Pinang dan Kedah.
Terdahulu, Mior Faridalathrash menyampaikan sumbangan kepada bekas wartawan akhbar Makkal Osai, Letchumi Rajoo yang menghidap angin ahmar di kediaman ibu tunggal itu di Taman Desa Pengkalan di sini.

Sumbangan Polis Perak kepada ibu tunggal dua anak itu adalah bagi meringankan beban yang ditanggung.