IPOH - Perjalanan terakhir pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, diiringi lebih 300 kenalan, sahabat handai khususnya penggiat seni setempat yang hadir di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampong Paloh di sini.

Jenazah disempurnakan selepas solat Zohor.

Cuaca panas dengan langit berlatar belakangkan awan serta langit biru seolah-olah menggambarkan pemergian tenang insan sohor dalam industri seni negara ini.

Allahyarham juga merupakan adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Menteri Besar Perak turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Beberapa artis tanahair turut dilihat seperti Zul Ariffin, Ava Vanja dan Khir Rahman.

Van jenazah sebelumnya tiba di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 1.53 petang setelah selesai urusan solat jenazah di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampong Sungai Rokam.

Sebelum itu jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Taman Ipoh Jaya Timur 1, Ampang dekat sini pukul 6 pagi tadi setelah disempurnakan di Hospital Slim River (HSR).

Suasana hiba menyelubungi kediaman dengan kehadiran ahli keluarga, kenalan dan pelakon-pelakon telemovie Kampong Pisang yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Antaranya penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, Pekin Ibrahim dan Bell Ngasri.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas terakhir di HSR kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd. Khalid Amen; Mohd. Khalid Adam; Mohd. Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Antara filem Allahyarham yang terkenal adalah Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah, Rock dan 18 Puasa di Kampong Pisang.