IPOH – Pasukan 69 Komando (Vat 69) Polis Diraja Malaysia yang berpangkalan di Kem Ulu Kinta di sini genap berusia 52 tahun apabila menyambut ulangtahun penubuhannya pada Ahad lalu.

Majlis sambutan itu telah dihadiri dan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali.

Pada majlis sama, Hazani telah dianugerahkan beret kehormat 69 Komando yang dilakukan sendiri oleh komandernya, iaitu Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Mohd. Yusoff.

Terdahulu, ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid bersama Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji dan Komander Briged Sabah PGA, SAC Abdul Rani Alias.

Abdul Rani sebelum ini merupakan Timbalan Komander 69 Komando sebelum dinaikkan pangkat dan bertukar ke Briged Sabah PGA.

Kemeriahan sambutan hari ulangtahun diserikan dengan demonstrasi tembak taktikal yang melibatkan pelbagai aksi mencemaskan, berlatar belakangkan bunyi letupan peledak dan tembakan senjata api canggih menggunakan peluru sebenar daripada pegawai dan anggota 69 Komando.

Pada majlis yang sama, Hazani berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa warga 69 Komando yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam penugasan mereka menumpaskan penjenayah antaranya menerusi Op Taring dan Op Benteng.

Tidak ketinggalan, Cawangan Kewangan 69 Komando turut diberikan sijil penghargaan kerana berjaya mendapat penarafan cemerlang oleh Jabatan Akauntan Negara, Negeri Perak baru-baru ini.