TAPAH – Seramai 200 penerima terdiri daripada kalangan penduduk setempat menerima agihan keuntungan Ladang Rakyat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) daerah Batang Padang yang telah berlangsung di Arena Merdeka Tapah baru-baru ini.

Majlis yang diadakan mengikut garis panduan SOP ketat itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Batang Padang, Shahrul Affendi Baharuddin dan Pengurus Besar Korporat Sosial PPPNP, Mohd Zaid Zulkifli.

PPPNP menerusi hantaran pada laman media sosialnya memaklumkan, setiap penerima mendapat wang agihan sebanyak RM300.

Menurut paparan itu, agihan ini juga diharap dapat meringankan beban dalam menampung perbelanjaan harian, khususnya pada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Agihan sama turut dilaksanakan di Slim River sebelum itu bagi keuntungan Ladang Rakyat PPPNP daerah Mualim telah berlangsung di Pejabat Penghulu Mukim Slim.

“Dalam majlis itu, sebanyak 200 penerima terdiri dikalangan masyarakat setempat telah menerima wang agihan sebanyak RM300 setiap seorang,” ujar paparan berkenaan.

Majlis penyampaian agihan telah disempurnakan oleh ADUN Slim, Mohd Zaidi Aziz.