IPOH - Biarpun mendapat pelbagai bantuan dan sumbangan dalam bentuk makanan, namun sebuah penempatan anak-anak yatim di Manjoi amat memerlukan dana untuk melangsaikan sewa tanah tersebut.

Setiausaha Pusat Anak-anak yatim dan Miskin Nurul Iman, Norazilah Ahmad Mazlan berkata, tajaan sewa sebanyak RM4,200 amat diperlukan.

"Biasanya sewa dibayar secara tahunan dengan nilai tersebut, tetapi untuk tahun 2021, pihak kami masih belum mendapat sebarang dana.

"Tanah ini milik individu dan dalam tempoh 2 bulan lagi kami perlu selesaikan bayaran sewa itu," katanya kepada Peraktastic di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan bantuan makanan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Pasaraya Econsave.

MBI diwakili Ahli Majlis, Syed Mohd Noor Hisam Syed Hassan, bersama Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang, menyampaikan sumbangan barangan makanan di bawah program MBI Prihatin kepada pusat tersebut.

Norazilah menjelaskan,  seramai 20 orang penghuni di pusat tersebut tetap meneruskan usaha belajar sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) sejak negara dikenakan perintah kawalan pergerakan akibat wabak pendemik Covid19.