SELAMA - Sayu hati melihat keadaannya yang terlantar pada ketika insan lain seusianya sedang keluar bekerja bagi mencari rezeki buat keluarga tercinta.

Namun, apakan daya ujian kesihatan ditanggungnya membataskan Mohd. Rosdi Mat Shohor apabila hanya terlantar di rumah untuk diuruskan isterinya di Taman Menteri di sini.

Selain menghidap penyakit buasir, beliau juga pernah menjalani pembedahan untuk membuang darah beku pada kepalanya menyebabkan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Akibatnya, beliau mengalami lumpuh separuh badan.

Kerjayanya di sebuah kilang terpaksa dilepaskannya dan kini, beliau dijaga sepenuh masa oleh isterinya yang juga terpaksa melepaskan pekerjaannya demi suami yang tercinta.

Kesukaran yang ditanggung Mohd. Rosdi bagaimana pun mendapat perhatian Zakat Perak MAIPk (Majlis Agama Islam Negeri Perak) apabila diziarahi Pegawai Baitulmal Daerah, Ustaz Muhammad Naquib Mohamad Tarmizi pada September lalu.

Pada ziarah tersebut beliau menyampaikan sumbangan tunai dan sebuah kerusi roda bagi kegunaan Mohd. Rosdi.

Susulan sumbangan tersebut, pihak Zakat Perak MAIPk sekali lagi menziarahi keluarga berkenaan bagi menyampaikan bantuan katil perubatan serta susu khas dan lampin pakai buang untuk bekalan selama tiga bulan.

Inilah antara manfaat yang dapat dinikmati oleh para mustahiq hasil daripada zakat.