IPOH – Seramai 382 pelatih Perajurit Muda Muda Udara (PjM U) Siri 64/21 telah menyempunrakan upacara mengangkat sumpah di Dataran Skuadron Latihan PjM U, Akademi Tentera Udara (ATU) di sini semalam.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam paparan pada laman Facebook rasminya memberitahu, pengambilan PjM U Siri 64/21 ini melibatkan seramai 405 orang calon lelaki yang hadir dari seluruh pelusuk negara.

“Bagaimana pun, hanya 382 orang calon sahaja yang layak mengikuti latihan asas ketenteraan selama enam bulan di ATU, Ipoh.

“Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lafaz Ikrar Taat Setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh PjM U Siri 64/21,” ujar paparan tersebut.

Selesai lafaz Ikrar Taat Setia, majlis diteruskan lagi dengan sesi menandatangani Sijil Serah Terima PjM U Siri 64/21.

Majlis dihadiri dan disaksikan Komandan ATU, Kol Baharudin Abu Hassan TUDM.