PARIT BUNTAR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Pengkalan Persiaran Laut Kuala Kurau di sini berakhir apabila mayatnya ditemui.

Mayat mangsa ditemui nelayan pukul 9.45 pagi terapung pada jarak 7.4 batu nautika arah barat muara Kuala Kurau dekat sini.

Identiti mangsa disahkan sebagai Ong Boon Lai, 40,

Terdahulu, kehilangan mangsa dilaporkan kepada pihak polis pagi Selasa sebelum menghubungi bomba pada pukul 9.40 pagi untuk bantuan SAR.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, operasi SAR telah dijalankan melibatkan tiga buah bot dengan 16 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi.

Menurut jurucakap itu, sebuah bot dengan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau ditugaskan untuk operasi itu.

"Dua buah lagi adalah bot Kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan empat anggota dan bot Kerambit milik polis Marin (enam).

"Kawasan pencarian diperluaskan sehingga 15 batu nautika di lokasi mangsa dipercayai terjatuh," ujar jurucakap tersebut.

Bagaimana pun, sehingga petang semalam mangsa masih tidak ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.41 petang.

Mayat telah dibawa ke Jeti Marin Kuala Kurau untuk tujuan pengecaman waris sebelum diserahkan kepada polis bagi urusan selanjutnya.

Operasi yang melibatkan keseluruhan seramai 50 anggota pelbagai agensi itu diketuai PPgB Muhamad Ibrahim Mohd. Zin.