TAMAN DR Seenivasagam sememangnya sinonim dengan Bandaraya Ipoh.

Kehijauan dan keindahan lanskap yang terhasil secara semulajadi sentiasa menggamit setiap mata yang memandang.

Di setiap sudut taman itu, terdapat rimbunan pepohon yang tumbuh secara semulajadi  selain mempunyai 2 buah padang bola serta sebuah padang pelbagai guna, terjaga kebersihannya.

Bagaimanapun, tanpa tenaga kerja yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di sini, sudah tentu taman ini tidaklah secantik dan terpelihara seperti ini.

Pengarah Landskap Bandaraya , Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Meor Abdullah Zaidi Meor Razali berkata, usia pokok-pokok di taman itu ada yang telah melebihi 70 tahun.

“Taman berkeluasan 30 ekar ini dibuka pada tahun 1953 dan diberikan nama ‘Coronation Park’ iaitu sempena pertabalan Ratu Elizabeth II di England.

“Sejak awal pembukaannya, ia merupakan taman mini botanikal yang menempatkan koleksi pokok-pokok hutan hujan di Malaya ketika itu,” katanya kepada Peraktastic di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, tasik yang terdapat di dalam taman itu, asalnya adalah aliran air sungai dari Sungai Kinta namun ia terbentuk apabila pihak British pada masa itu menutup laluan sungai ke arah taman itu.

Menurutnya, selepas kemerdekaan Tanah Melayu, taman itu seterusnya ditukar namanya kepada ‘Taman D.R Seenivasagam’ (TDR) iaitu singkatan daripada ‘Darma Raja Seenivasagam’.

Seenivasagam merupakan pemimpin politik yang terkenal pada ketika itu, mewakili Parti Progresif Penduduk (PPP) , yang mana sebelum tahun 1959 ia dikenali sebagai Parti Progresif Perak.

Beliau berketurunan Tamil Ceylon, manakala bapanya merupakan seorang peguambela Ceylon dari Jaffna.

Beliau memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Ipoh, Perak (1958-1964).

Taman yang terletak di tengah Bandaraya Ipoh dan terkenal kerana kemudahan riadah turut mempunyai padang permainan, tasik buatan yang dipenuhi dengan ikan, tapak semaian bagi pokok berpasu dan padang permainan trafik kanak-kanak.

Meor Abdullah Zaidi berkata, tarikan kepada pengunjung di TDR lebih kepada ‘Lanskap Warisan’ selain aktiviti riadah bersama keluarga di samping aktiviti bersukan berbekalkan kemudahan yang disediakan oleh pihak MBI di situ.

Dalam pada itu, katanya selaras dengan konsep kehijauan di taman itu, pihaknya turut mewujudkan sebuah kawasan tapak semaian berkonsepkan pertanian dalam bandar.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak tahun 2020, ketika dunia dilanda wabak Covid19, kita dapati orang ramai mulai berminat untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan.

“Tanaman yang biasanya menjadi pilihan untuk para penduduk terutamanya di kawasan taman-taman perumahan adalah sayuran-sayuran dan buah-buahan.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif membina tapak semaian di dalam TDR ini dengan menempatkan beg-beg semaian anak-anak benih pokok buah-buahan dan sayur-sayuran seperti markisa, timun, kacang selain nanas,” jelasnya.

Tambahnya, bagi menambahkan seri tapak semaian itu, para petugas jabatan lanskap, menggunakan bahan-bahan buangan semulajadi seperti buluh untuk dijadikan ‘rumah hijau’ bagi menempatkan benih-benih pokok yang telah disemai.

Pokok-pokok yang telah berbuah, menjadi tarikan kepada para pengunjung dan mereka juga boleh menikmati hasil tanaman di situ selain boleh membeli anak-anak benih yang telah disemai itu.

Ujarnya, pokok-pokok yang terdapat di taman semula jadi ini adalah berkonsepkan 5 faktor, iaitu sebagai makanan, perubatan, pertukangan, kepercayaan dan kecantikan.

"Ada pelbagai spesis tanaman berteraskan lima faktor tersebut, misalnya pokok merbau yang terkenal untuk industri pertukangan."

Selain itu, pengunjung yang ingin bersantai bersama keluarga sambil menikmati makanan yang dibawa dari rumah, terdapat pondok-pondok yang telah dibina di situ, namun perlu membersihkan kawasan tersebut selepas menggunakannya secara percuma.

 

Orang ramai boleh berkunjung ke taman ini, mengikut jadual  berikut  : -

TAMAN DR. SEENIVASAGAM
Hari : Isnin hingga Ahad

Waktu : 8 a.m hingga 6 p.m


TAMAN JEPUN
Hari : Isnin hingga Ahad

Waktuv : 10 a.m hingga 4 p.m

Orang ramai perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negera (MKN) iaitu divaksin sepenuhnya (2 dos) serta memakai pelitup muka sepanjang berada di  taman ini.