IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkasakan penggunaan digital menerusi pelancanran Gerbang Digital MBI yang dikenali sebagai D-MBI@Ipoh pada 11 Oktober lalu.

Gerbang digital ini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang boleh dicapai melalui mana-mana telefon pintar, tablet dan komputer dengan menggunakan satu akaun atau satu ID pengguna sahaja.

Selain mengandungi fungsi-fungsi baharu yang lebih komprehensif, fleksibel, real time dan tahap keselamatan ditingkatkan, D-MBI@Ipoh juga mempunyai rekabentuk yang responsif, mengikut tren semasa dan mesra pengguna.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembangunan D-MBI@Ipoh meliputi dua fasa di mana Fasa 1 melibatkan sistem pembayaran dalam talian MBI yang telah ditambahbaik dari Sistem e-Semak & e-Cetak sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

“Sebelum D-MBI@Ipoh dilancarkan, MBI telah berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM37,813,424.90 dengan bilangan 399,160 transaksi melalui Sistem e-Semak & e-Cetak dan Sistem eBayaran@MBI.

“Terdapat tiga fungsi yang telah siap dibangunkan dalam Fasa 1 iaitu Semakan Bil, Pembayaran dan Resit Bayaran. Bil-bil MBI yang boleh disemak meliputi cukai taksiran, lesen, sewaan, kompaun dan bil pelbagai, manakala orang ramai yang membuat bayaran bil MBI secara atas talian akan menerima status pembayaran secara real time.

“Untuk Fasa 2 pula tiga kategori perkhidmatan MBI akan dibangunkan iaitu lesen dan perniagaan, komuniti serta pemaju dan pembekal. Dalam tiga kategori ini akan mempunyai 15 menu antaranya adalah eLesen, MyNorisk, MyAduan, Tempahan Dewan, eSupplier dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Oktober 2021 di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah-Pengarah Kanan serta Ketua-ketua Jabatan MBI.

Jelas Rumazi lagi, penambahbaikan ini akan terus dilaksanakan mengikut keperluan semasa bagi mencapai hasrat Komuniti Digital menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, fasiliti milik MBI terutamanya dewan-dewan telah dibuka untuk penyewaan seperti permainan badminton, senamrobik dan tarian sahaja buat masa ini tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut Datuk Bandar, di Kompleks Sukan pula hanya Stadium Perak, Pusat Akuatik Tuanku Zara, Arena Lawn Bowl dan Stadium Azlan Shah yang boleh digunakan oleh orang awam dan Persatuan.

“Selainnya masih digunakan oleh Kementerian Kesihatan untuk kuarantin pesakit kes Covid-19 dan pusat pemberian vaksin.

“Begitu juga pembukaan Perpustakaan Tun Abdul Razak, di mana pihak perpustakaan sentiasa menganjurkan acara-acara berkonsepkan pendidikan untuk warga kota.

“Acara yang telah diadakan secara maya pada bulan Oktober ini adalah program MY Love PTR Malaysia Prihatin yang merangkumi pertandingan pakaian beragam, mewarna, melukis dan deklamasi,” ujar beliau.