TAIPING - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) telah menganjurkan Kempen Pembasmian Sampah Haram MPT 2021 bermula 20 Oktober 2021.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kempen dibawah program Local Agenda 21 (LA21) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menyenarai pendekkan 10 tapak sampah haram untuk dihapuskan bagi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.

“Beberapa tapak sampah haram yang tersenarai dalam kempen sampah haram telah dibersihkan, ditambak tanah, kain rentang, bunting dan tali penghadang telah dipasang untuk menghalang orang awam dari terus membuang sampah di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPT, di sini, pada Khamis.

Katanya, MPT menggesa agar semua pihak berkerjasama menghentikan tabiat pembuangan sampah di merata-rata tempat.

Jelas beliau, orang ramai khususnya perlu mengamalkan pengurusan pembuangan sampah dengan cara yang betul dengan menyediakan tong sampah mengikut kapasiti yang bersesuaian.

Oleh itu katanya, masyarakat harus sentiasa peka dengan jadual kutipan sampah oleh pihak kontraktor dari rumah ke rumah yang dilaksanakan 3 kali seminggu.

Tapak sampah haram yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut: 

  • Taman Kota Jaya, Simpang;
  • Jalan Taman Damai, Taman Damai, Simpang;
  • Jalan Taman Sungai Mas, Taman Sungai Mas, Taiping;
  • Susur Paduka Setia 2, RPT Paduka Setia, Taiping;
  • Lorong Kampung Boyan, Kampung Boyan, Taiping;
  • Medan Taiping, Taiping;
  • Jalan Azizul Rahman, Taman Azizul Rahman, Taiping;
  • Lorong Dua Belas, Kampung Pinang, Kamunting;
  • Lorong Impian 3, Taman Impian, Kamunting; dan
  • Lorong Anggerik, Taman Kamunting Jaya, Kamunting.

Bagaimananpun tambahnya, walaupun kempen ini telah dilaksanakan namun begitu pembuangan sampah haram masih lagi berlaku di 10 lokasi yang telah dilaksanakan.

“Semua pihak termasuk pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga harus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dalam meningkat kesedaran dan tanggungjawab kepada alam sekitar.

 

“Kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada MPT. Bersama-sama kita menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.