TAIPING - Bagi memupuk kesedaran semua lapisan masyarakat dalam usaha untuk mencantikkan persekitaran kediaman serta menjaga kebersihan kawasan kejiranan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (JaPenLMS) dan Pejabat Perpaduan Daerah Larut Matang dan Selama akan menganjurkan Anugerah Keceriaan Taman Perumahan MPT 2021
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, ia adalah acara kemuncak pada akhir tahun 2021 dan pertandingan bermula pada 1 November sehingga 21 November ini.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, anugerah ini terbuka kepada semua taman perumahan termasuk kampung di dalam kawasan pentadbiran MPT (Mempunyai Cukai Taksiran dari MPT).
Pertandingan ini menawarkan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000.00 dan setiap pemenang akan membawa pulang hadiah seperti berikut:
- Tempat Pertama – RM 2,000.00 dan Sijil Penyertaan;
- Tempat Kedua – RM 1,500.00 dan Sijil Penyertaan;
- Tempat Ketiga – RM 1,000.00 dan Sijil Penyertaan; dan
- Saguhati - 5 hadiah Saguhati dan Sijil Penyertaan.
Penyertaan anugerah adalah dalam talian di pautan yang telah disediakan atau imbas QR Code yang terdapat pada poster.
Justeru katanya, MPT mempelawa Persatuan Penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyertai anugerah ini.
Syarat penyertaan dan kriteria permarkahan boleh didapati dengan melayari Laman Sesawang Rasmi dan Laman Sosial MPT.