TAMBUN - Seramai 200 penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima sumbangan barangan makanan kering dan seekor ayam sempena sambutan Deepavali, di sini hari ini.

Ahli Majlis MBI, Clr. Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, sejak tahun lalu ramai yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan mengalami kesempitan hidup akibat hilang perkerjaan.

“Ada di kalangan mereka yang berdepan dengan kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kesukaran untuk menampung kehidupan seharian apatah lagi perayaan Deepavali akan disambut tidak lama lagi.

“Prihatin dengan masalah itu, sebagai mewakili MBI khususnya Datuk Bandar, kami amat berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan perbelanjaan mereka,” katanya kepada Peraktastic.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada warga penduduk berketurunan India di Zon Hulu Kinta, pada Sabtu.

Jelasnya, antara kawasan yang terlibat menerima sumbangan tersebut ialah Batu 5, Tambun dan Tanjung Rambutan.

Selain itu, menerusi program MBI Prihatin ini bantuan rumah juga diberikan kepada mereka yang berhadapan kesukaran bayaran sewa serta perbelanjaan utiliti iaitu dengan nilai maksimum RM500 tunai.