GERIK - Tiga maut manakala dua cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 64 Lebuh Raya Timur Barat dekat kawasan Rehat dan Rawat Titiwangsa di sini petang tadi.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan Perodua Axia.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan penumpang Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 29 tahun dan perempuan 24 tahun serta wanita menaiki kereta Perodua Axia.

Dua yang cedera adalah penumpang Perodua Axia iaitu seorang wanita berusia 30 tahun dan kanak-kanak satu tahun.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.49 petang.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dikerah ke lokasi kejadian.

"Semasa bomba tiba, kemalangan di lokasi melibatkan dua buah kereta yang berlanggar melibatkan lima mangsa.

"Tindakan dilakukan untuk mengeluarkan mangsa-mangsa termasuk yang cedera menggunakan peralatan hidraulik dan alat pemotong," ujar jurucakap tersebut.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut manakala mangsa-mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Mohamad Ismail tamat sepenuhnya pada pukul 6.35 petang.