IPOH – Majlis Daerah Selama (MDS) telah memutuskan tidak membenarkan penjualan minuman keras secara runcit pada mana-mana premis perniagaan di daerah itu mulai Januari 2022.
Melalui Ahli Majlis MDS dan di bawah kepimpinan Yang DiPertua Majlis, Nor Akmal, kesemua para peniaga di daerah ini yang terlibat dengan penjualan minuman keras telah bersetuju.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, perkata itu telah diputuskan oleh pihak MDS selaku pihak pentadbiran tempatan.
"Keputusan itu juga hasil muafakat semua pihak khususnya masyarakat setempat yang mahukan tindakan sedemikian diambil.
“Mulai Januari 2022 tiada lagi perniagaan menjual arak secara terbuka di kesemua premis perniagaan dalam DUN Selama,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi beliau.
Mohd. Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sains dan Alam Sekitar negeri memberitahu, keputusan tersebut disambut baik masyarakat setempat.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, terpulang pada kebijaksanaan PBT dan Ahli Majlis melalui bidang kuasa yang ada pada mereka.
Beliau semasa ditemui dalam satu majlis di Bukit Gantang memberitahu, sebarang keputusan mengenai penjualan arak bergantung pada sesebuah PBT dan Ahli Majlis bagi menyekat gejala ini (penjualan arak) dalam kalangan orang Islam.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) di sesebuah daerah dan negeri mempunyai kuasa untuk memutuskan larangan penjualan minuman keras dalam pentadbiran masing-masing.
"Ianya merupakan satu langkah yang positif bagi mengelakkan penjualan arak secara terbuka kepada umat Islam," ujarnya.
Media pada Isnin lalu melaporkan, larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditangguhkan selama sebulan mula dikuatkuasakan.
Bagaimana pun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula pukul 7 pagi hingga 9 malam sahaja sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).
Namun, premis terbabit perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.
Manakala Kelantan dan Terengganu pula telah lama melaksanakan larangan jualan minuman keras di premis perniagaan secara terbuka.