Sesiapa tidak menyangka di sebalik keindahan dan kedamaian Taman Jepun terselit ‘Janda Merana’ menghiasi beberapa sudut taman yang menjadi lambang persahabatan bandar raya Ipoh dan Fukuoka.
‘Janda Merana’ merupakan salah satu pokok teduhan yang menaikkan keindahan semula jadi kerana struktur daunnya yang kecil dan merimbun menambah seri keunikan taman ini.
Pengarah Landskap Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Meor Abdullah Zaidi Meor Razali berkata, beberapa lagi spisis pokok teduhan yang ditanam di taman ini ialah Pink Tecoma, Pine, Cycads dan Kelat Paya.
“Kesemua spisis pokok-pokok ini memainkan peranan penting bagi memperkuatkan lagi konsep taman ini mengikut struktur lanskap yang sama seperti Taman Jepun yang terdapat di Fukuoka. Landskap yang terdapat di taman ini, merupakan reka bentuk tipikal sesuatu Taman Jepun yang terdapat di seluruh dunia.
“Pihak Fukuoka City Hall dan Majlis Bandaraya Ipoh telah memperkenalkan elemen terbaharu Taman Jepun iaitu “Dry Garden” bagi menaik tarafkan taman ini.
“Ianya merupakan perlambangan landskap atau mukabumi yang terdapat di sesuatu wilayah di Jepun. Ia mengambarkan daratan, badan air serta gunung ganang yang menggunakan batu-batu kerikil, batu batan dan tumbuhan saiz kecil atau bonsai,” katanya kepada Ipoh Echo menerusi temu bual eksklusif hari ini.
Batu-batu yang terdapat di sini terdiri dari dua jenis saiz iaitu batu kerikil halus yang membentuk hamparan dan melambangkan permukaan lautan atau dataran. Sementara batu batan besar pula melambangkan gunung-ganang. Kesemua batu ini dipilih dari kuari sekitar ipoh yang berwarna putih dan kelabu dari jenis batu kapur.
Taman yang berkeluasan 1.2 hektar ini, terletak di dalam kawasan Taman Rekreasi D.R.Seenivasagam. Ia dibina mengikut struktur lanskap yang unik sama seperti taman Jepun yang terdapat di Fukuoka.
Secara rasminya, taman ini dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh, Ahmad Salleh Sarif bersama Datuk Bandar sebelumnya, Dato’ Umar Abu serta kehadiran bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Watanabe yang mewakili Datuk Bandar Fukuoka.
Menurut Meor Abdullah Zaidi, taman ini juga mendapat gelaran “Taman Mini Jepun” selepas termeterainya perjanjian di antara bandar Ipoh dan bandar Fukuoka pada 21 Mac 1989 sebagai Bandaraya Berkembar antara Jepun dan Malaysia.
“Di sinilah lokasi yang seharusnya anda lawati yang bukan sahaja dapat merasai seperti berada di taman negara Jepun, malah mampu merawat kelesuan minda dan jauh dari kesibukan bandar raya.
“Taman ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Pelawat diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan disamping memelihara kebersihan taman agar ianya dapat menjamin kesejahteraan bersama,” ujarnya.