MANJUNG - Seramai 88 orang penduduk melibatkan 23 keluarga yang terjejas disebabkan banjir kilat di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Panchor, Pengkalan Bharu dekat Beruas dipindahkan malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor.
Kawasan berkenaan dinaiki dipercayai akibat fenomena air pasang besar yang melanda.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, mangsa-mangsa yang terlibat terdiri daripada 42 lelaki dan 46 perempuan.
"Pemantauan kita mendapati kawasan kediaman penduduk dinaiki air sedalam 0.2 meter dan keadaan cuaca mendung malam tadi tetapi keadaan adalah baik.
"Pihak keselamatan telah memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat," ujar jurucakap tersebut.
Menurut jurucakap itu, ketika ini pihaknya masih memantau keadaan banjir kilat tersebut.
Sementara itu di Teluk Intan, beberapa kawasan di bandar Teluk Intan dan kampung terdekat dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar sejak semalam.
Air dikatakan mulai naik dan melimpahi tebing sungai mulai pukul 4 pagi dari Sungai Perak, Sungai Batang Padang dan Sungai Bidor.
Banjir dan limpahan air yang masuk hari ketiga ini masih menenggelami jalan-jalan di beberapa buah premis perniagaan di bandar ini yang terletak berhampiran Sungai Perak.
Sehingga pukul 2 petang tadi air masih belum surut di beberapa lokasi rendah di bandar ini menyebabkan aktiviti perniagaan lumpuh, bagaimana pun, keadaan secara keseluruhannya terkawal.